Accessibility Tools

Skip to main content
Portal RasmiMajlis Bandaraya Pulau Pinang

Penilaian Harta

11 Januari, 2023

Kadar (Cukai Taksiran atau Cukai Pintu)

  • Pengenalan

    Kadaran atau cukai taksiran atau cukai pintu merupakan suatu cukai yang dikenakan ke atas semua pegangan (harta tanah) bagi membolehkan PBT menyediakan perkhidmatan kepada semua pemilik pegangan di dalam kawasan pentadbirannya.

    Cukai taksiran dikenakan ke atas semua jenis pegangan sama ada tanah yang didirikan dengan bangunan/ struktur atau tanah kosong. Kuasa untuk mengenakan kadaran adalah selaras dengan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) di bawah Seksyen 127 yang membolehkan MBPP mengenakan kadar ke atas pegangan-pegangan yang terletak di dalam kawasan pentadbiran Majlis.

    Cukai taksiran dikenakan ke atas semua pegangan dalam kawasan MBPP berdasarkan kepada 'Nilai Tahunan' dan 'Kadar Peratus' Tahunan. Cukai taksiran perlu dibayar dua kali setahun iaitu dalam bulan Januari dan Julai.

  • Nilai Tahunan

    Nilai Tahunan sesuatu pegangan, seperti ditafsirkan dalam Seksyen 2 Akta Kerajaan Tempatan, 1976, adalah anggaran sewa tahunan pegangan itu dapat diberi sewa dengan berpatutan kepada seseorang penyewa dengan anggapan pemilik membayar kos pembaikan, insurans dan perbelanjaan lain yang perlu untuk menyenggarakan pegangan itu.

  • Kadar Peratus

    Kadar peratus ditetapkan setiap tahun oleh Majlis mengikut keperluan kewangan. Kadar peratus yang dilulus oleh Majlis akan dikekalkan bagi sepanjang tahun dan rayuan tidak boleh dibuat terhadapnya.

    Kadar Peratus Baru Berkuatkuasa mulai 1 Januari 2020 :

    No. Jenis Harta Kadar Baru 2020
    1. Kediaman Bertanah  6.00%
    2. Kediaman Bertanah Kos Rendah/Kos Sederhana Rendah 5.00%
    3. Rumah Pangsa Kos Rendah/Sederhana Rendah 5.00%
    4. Pangsapuri/Kondominium 5.80%
    5. Perdagangan  9.00%
    6. SOHO 10.00%
    7. Pangsapuri Perkhidmatan 10.00%
    8. Industri 12.00%
    9. Hotel 14.70%
    10. Persatuan/Kongsi 7.00%
    11. Tanah Kemajuan - Kawasan Bandar 4.00%
    12. Tanah Kemajuan - Kawasan Luar Bandar 2.00%
    13. Tanah Pertanian 0.50%
    14. Kelab Golf/Kelab Lumba Kuda 14.70%
  • Kawasan Kadaran

    Bagi tujuan cukai taksiran, Majlis telah membahagikan kawasan pentadbirannya kepada dua kawasan. Kawasan bandar merangkumi kawasan dalam bandaraya George Town dan Kawasan luar bandar merangkumi luar bandaraya George Town.

  • Pegangan Yang Dikenakan Cukai Taksiran

    Cukai Taksiran dikenakan ke atas semua jenis hartanah sama ada tanah yang didirikan dengan bangunan/ struktur atau tanah kosong.

    Merujuk kepada tafsiran dibawah Seksyen 2, Akta Kerajaan Tempatan 1976 telah memperuntukkan cukai taksiran dikenakan ke atas mana-mana tanah:

    (i) yang sebahagiannya diduduki atau sebahagiannya ada apa-apa binaan di atasnya;

    (ii) yang kosong, tidak diduduki atau tidak ada apa-apa binaan di atasnya;

    (iii) yang ada di atasnya suatu bangunan yang belum siap; atau

    (iv) yang ada diatasnya suatu bangunan yang telah diperakui oleh pihak berkuasa tempatan sebagai ditinggalkan atau buruk atau tidak layak untuk kediaman manusia.

    Sesuatu bangunan akan dikenakan cukai taksiran sebulan selepas tarikh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) atau Sijil Penghunian (OC). Bagi tanah kosong, cukai taksiran dikenakan dari tarikh kelulusan kebenaran merancang atau sesuatu tarikh yang munasabah mengikut sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis.

  • Bantahan Kepada Cadangan Nilai Tahunan

    Seseorang pemilik pegangan yang tidak berpuas hati dengan nilai tahunan yang dicadangkan boleh membuat bantahan secara bertulis dalam satu bulan dari tarikh Notis Taksiran. Bantahan boleh dibuat atas alasan-alasan berikut :-

    a.

    Bahawa sesuatu pegangan yang dikenakan kadar adalah dinilai lebih daripada nilainya yang boleh dikenakan kadar;

    b.

    Bahawa seseorang atau sesuatu pegangan dinilai adalah pegangan yang tidak boleh dikenakan kadar;

    c.

    Bahawa seseorang atau sesuatu pegangan yang sepatutnya termasuk dalam Senarai Nilaian itu telah tertinggal daripadanya;

    d.

    Bahawa seseorang atau sesuatu pegangan yang sepatutnya termasuk dalam Senarai Nilaian itu telah tertinggal daripadanya;

    e.

    Bahawa sesuatu pegangan atau pegangan-pegangan yang telah dinilai secara bersama atau berasingan sepatutnya dinilai secara lain.

  • Pengecualian dan Pengurangan Cukai Taksiran

    Merujuk kepada Seksyen 134, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Pengecualian dari Kadar) telah menyatakan apabila sesuatu pegangan atau mana-mana bahagiannya digunakan semata-mata:

    • Sebagai tempat awam untuk sembahyang (Rumah ibadah)

    • Sebagai tanah perkuburan atau krematorium awam yang berlesen

    • Bagi sekolah awam

    • Sebagai tempat awam bagi maksud khairat atau bagi maksud sains, sastera atau seni halus dan bukan untuk mendapatkan keuntungan wang

    Seksyen 135 Akta Kerajaan Tempatan 1976 membolehkan pengecualian atau pengurangan kadar diberi sekiranya pegangan itu atau sebahagian daripadanya digunakan bagi maksud kebajikan, sosial atau rekreasi dengan bukan bertujuan untuk mendapat keuntungan wang, Pihak Berkuasa Negeri boleh menurut budibicaranya, mengecualikan pegangan atau bahagian pegangan itu daripada pembayaran semua atau mana-mana kadar atau boleh mengurangkan apa-apa kadar yang dikenakan keatas pegangan atau bahagian pegangan itu.

     

  • Pindah Milik Dan Pertukaran Nama

    Apabila sesuatu pegangan berkadar dijual atau dipindah milik, adalah menjadi kewajipan penjual atau pemindah milik dan pembeli atau penerima pindah milik dalam tempoh tiga bulan selepas jualan atau pindah milik itu memberi notis dengan menggunakan Borang I (pindah milik/ tukar nama) kepada MBPP.

    Apabila pemunya sesuatu pegangan berkadar meninggal dunia, menjadi kewajipan waris simati melalui warisan atau selainnya memberi notis mengenainya kepada MBPP dalam tempoh satu tahun selepas kematian itu dengan menggunakan Borang J (pindah milik atas sebab kematian).

    Borang berkenaan boleh dimuat turun melalui Laman sesawang
    (https://www.mbpp.gov.my/ms/muat-turun-borang).

  • Tanggungjawab Seorang Pembayar Cukai Taksiran

    a.

    Memberi Notis kepada M.B.P.P. tentang pemindahan atau penukaran hakmilik hartanah yang boleh dikenakan cukai taksiran.

    b.

    Memberi Notis kepada M.B.P.P. mengenai bangunan baru atau bangunan yang diroboh atau sebarang tambahan dan pindaan kepada rumahnya.

    c.

    Melengkap dan mengembalikan borang-borang yang dihantarkan oleh M.B.P.P.

    d.

    Membenarkan kakitangan M.B.P.P. membuat pemeriksaan ke atas hartanah untuk tujuan cukai taksiran.

    e.

    Berjumpa dengan Bahagian Kutipan Hasil jika bil cukai taksiran tidak diterima dalam bulan Januari/Julai setiap tahun.

    f..

    Membayar bil cukai taksiran separuh tahun pertama sebelum 28 Februari dan separuh tahun kedua sebelum 31 Ogos setiap tahun.

  • Denda Bayaran Lewat Yang Akan Dikenakan Atas Tunggakan Cukai Taksiran

    Perkara

    Separuh
    Tahun Pertama

    Separuh
    Tahun Kedua

    Bil-bil siap diposkan:

    1 JANUARI

    1 JULAI

    BAYARAN NOTIS dikeluarkan :

    1 MAC

    1 SEPTEMBER

    Cara Notis di kenakan

    Notis (Seksyen 147 (1), Akta Kerajaan Tempatan 1976)

     

    Notis sebanyak RM5.00 akan dikenakan pada 1 Mac dan 1 September


    BAYARAN WARAN dikeluarkan:

    Waran (Seksyen 148, Akta Kerajaan Tempatan 1976)

    Jika tunggakan kadar dan Notis tidak dibayar dalam tempoh yang telah ditetapkan, Waran Tahanan sebanyak RM50.00 akan dikenakan semasa operasi dijalankan