SESI PERJUMPAAN DENGAN KOMUNITI BAGI PROJEK BIDS JALAN GURDWARA
Satu Sesi Perjumpaan Bersama Komuniti bagi projek BIDS Jalan Gurdwara telah diadakan pada 11 Mei 2018 (Jumaat) bertempat di Hin Bus Depot, Jalan Gurdwara.
Program ini merupakan anjuran pihak Majlis bersama dengan Jawatankuasa LA21 BIDS Jalan Gurdwara dan Penang Nature Green Organization (PNGO).
Untuk makluman, projek BIDS ini, atau dikenali sebagai Business Improvement District Scheme dalam bahasa Inggeris, merupakan satu usaha bersepadu yang berlandaskan objektif untuk menjana pembangunan semula kawasan bandar yang kian merosot dengan kerjasama daripada semua pihak yang berkepentingan seperti golongan pemilik hartanah atau bangunan, penyewa premis, peniaga, penduduk, pihak NGO dan termasuk juga pihak kerajaan.
Model kerjasama sebegini juga memenuhi prinsip Local Agenda 21, yang menekankan penyertaan orang awam yang diwar-warkan semenjak tahun 1992 di Persidangan Bumi di Rio de Janeiro, Brazil.
Oleh itu, pihak Majlis telah menggabungkan kedua-dua pendekatan pembangunan strategik ini dalam usaha menghidupkan semula pertumbuhan ekonomi yang lebih giat di samping menyerlah lagi daya tarikan di kawasan pusat bandar George Town.