LAWATAN TAPAK KETUA MENTERI KE SKIM PERUMAHAN AWAM MBPP, LEBUH AH QUEE, PULAU PINANG PADA 21.6.2018
Skim perumahan awam MBPP, Lebuh Ah Quee telah dibina pada tahun 1960, mempunyai 24 unit kediaman dan 13 unit kedai. Keluasan unit kediaman adalah 438 kaki persegi hingga 506 kaki persegi manakala keluasan bagi unit kedai ialah antara 136 kaki persegi hingga 582 kaki persegi. Kadar sewa termasuk bayaran IWK untuk unit kediaman adalah RM112.00 sebulan hingga RM117.00 sebulan. Kadar sewa unit kedai pula adalah RM208.00 sebulan hingga RM758.00 sebulan termasuk bayaran Indah Water Konsortium (IWK).
Walaupun kadar sewa ini lebih rendah berbanding dengan sewa pasaran, MBPP tetap memberi perhatian serius untuk menambahbaik kemudahan yang disediakan bagi keselesaan dan keselamatan semua penghuni. MBPP telah merancang dan melaksanakan beberapa kerja naiktaraf dan penyelenggaraan bangunan.
Sejak tahun 2008 hingga kini, MBPP telah membelanjakan hampir RM360,000.00 merangkumi kerja-kerja naiktaraf dan penyelenggaraan. Di antara kerja-kerja naiktaraf yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:
1) Mengecat semula pada tahun 2013 dengan kos sebanyak RM39,973.60
2) Pendawaian semula elektrik pada tahun 2015 dengan kos sebanyak RM101,675.20
3) Menaiktaraf sistem perpaipan pada tahun 2016 dengan kos sebanyak RM37,057.69
Bagi tahun 2019, MBPP telah merancang untuk menjalankan kerja-kerja penggantian bumbung di kedua-dua blok bangunan ini dengan anggaran kos sebanyak RM500,000.00.