Accessibility Tools

Skip to main content
Official Portal OfCity Council of Penang island

Perutusan Datuk Bandar

31 October, 2022

TEKS UCAPAN YANG BERBAHAGIA DATO' IR. RAJENDRAN A/L P. ANTHONY DATUK BANDAR MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG DI UPACARA PENGAKUAN PENERIMAAN JAWATAN DATUK BANDAR MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG PADA 9 MEI 2023 (SELASA), JAM 9.30 PAGI BERTEMPAT DI DEWAN PERSIDANGAN MAJLIS, DEWAN BANDARAYA, JALAN PADANG KOTA LAMA, PULAU PINANG


Yang Amat Berhotmat Tuan Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang,

Yang Berhormat Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abd Rahman,
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang,

Yang Berhormat Prof. Dr. P. Ramasamy a/l Palanisamy,
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang,

Yang Berhormat Dato' Mohd Sayuthi bin Bakar,
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang,


Yang Berhormat
Tuan Jagdeep Singh Deo a/l Dato Seri Utama Karpal Singh,
Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan,
Perancangan Bandar & Desa,


Yang Berhormat-Yang Berhormat,
Ahli- Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang,


Yang Berhormat-Yang Berhormat,
Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan,


Ahli-Ahli Majlis,
Majlis Bandaraya Pulau Pinang,

Ketua-ketua Jabatan,

Rakan-rakan Media,

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

Selamat pagi, salam sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Penang2030


Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih ke atas kehadiran  Yang Berhormat/ Dato’/ Tuan-tuan dan Puan-Puan pada pagi yang mulia ini.

Saya telah dilahirkan di Pulau Pinang tidak sampai 60 tahun yang lalu. Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah menjadi sebahagian daripada hidup saya sejak tahun 1986 apabila saya melaporkan diri untuk bertugas di Jabatan Kejuruteraan pada usia 23 tahun. Kini, selepas berkhidmat 37 tahun di Majlis, saya berdepan dengan tuan-tuan dan puan-puan untuk pelantikan saya sebagai Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang.  

Walaupun tidak terlintas di fikiran saya pada satu ketika dahulu bahawa saya akan diberi tanggungjawab ini, pelantikan saya membuktikan bahawa di bawah Kerajaan Negeri ini, peluang terbuka kepada sesiapa pun yang berkomited. Untuk ini, saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan YAB Tuan Chow Kon Yeow serta barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana memberi kepercayaan kepada saya. Sebutan khas juga kepada keluarga saya yang banyak bersabar serta Ahlimajlis-ahlimajlis ke atas sokongan padu; dan yang penting warga MBPP yang telah menunjukkan semangat kerja berpasukan yang saya sanjungi. Saya bangga menjadi salah seorang warga MBPP dan warga pelbagai etnik Negeri Pulau Pinang dan Malaysia.

Saya diberi tanggungjawab ini pada masa Negeri Pulau Pinang sedang mengalami pembangunan yang menggalakkan. Seiring dengan pembangunan ini, permintaan, kehendak dan keperluan penduduk termasuk  perniagaan dan industri telah meningkat. MBPP menjadi titik hubungan pertama dan secara langsung berdepan dengan isu-isu dan masalah yang dihadapi oleh penduduk dan semua pemegang taruh (stakeholders). Dalam soal ini, MBPP bersedia mendengar suara rakyat dan menjalinkan ikatan kerjasama untuk memberi perkhidmatan dan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang membawa manafaat kepada semua pihak. Melalui perbelanjaan yang berhemah, saya yakin harapan dan aspirasi penduduk dapat dipenuhi secara progresif.

Isu-isu utama yang diketahui umum dan sedang diberi perhatian yang yang serius adalah kebersihan dan kesesakan lalulintas. Saya ingin mengesahkan bahawa perancangan dan langkah-langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan dan akan dipertingkatkan. Di samping ini, proses pendidikan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan.

Untuk menangani masalah kebersihan dan pemungutan sampah, MBPP telah memperkenalkan cara-cara yang lebih sistematik yang akan ditambahbaik melalui penggunaan teknologi terkini. Pasukan khas juga telah diadakan untuk mengambil tindakan segera ke atas sebarang aduan yang diterima dan memberi perkhidmatan sokongan sekiranya diperlukan. Seiring dengan ini, Majlis telah memperkukuhkan tenaga kerja dengan melantik 150 orang pekerja pembersihan pada tahun 2023 dan tindakan sedang diambil untuk menambah 10 buah kenderaan compactor unit. Di samping ini, untuk mengurangkan kuantiti sisa pepejal yang dilupuskan, pengitaran semula melalui Projek Waste to Energy akan dijalankan pada tahun 2024 di mana kadar kitar semula di bahagian pulau, Pulau Pinang dijangka dapat menjangkaui 60%.

Dari segi lalulintas, pelan-pelan menaiktaraf jalan dan membina infrastruktur jalan yang penting akan diteruskan dan pada masa yang sama tumpuan akan diberi kepada penggunaan pengangkutan awam dan pengangkutan alternatif.  Selain daripada ini, initiatif-initiatif untuk menggalakkan lebih ramai orang berjalan kaki untuk perjalanan dekat akan dilaksanakan. Ruang jalan juga semakin terhad dengan pertambahan kenderaan dan pejalan kaki terutama sekali di kawasan pusat bandar di mana jalan-jalan tidak dapat dilebarkan lagi.

Keadaan kesesakan bukan hanya tertumpu kepada waktu-waktu puncak lalulintas malah menjadi lebih runcing pada musim cuti dan hujung minggu. Oleh yang demikian, penggunaan ruang jalan perlu dioptimakan mengikut keutamaan dan secara saksama melalui perancangan yang lebih menyeluruh dan dihalusi melalui proses libat urus dengan orangramai.

Pelan-pelan dan tindakan untuk memperkukuhkan lagi kedayatahanan dan kesiapsagaan kita dalam menghadapi sebarang situasi, gejala atau bencana alam terutama sekali kesan perubahan iklim juga telah diberi perhatian. Ia melibatkan pembangunan strategi menyeluruh dengan kerjasama pelbagai pemegang taruh bersama agensi-agensi kerajaan secara bersepadu. Pada masa yang sama, langkah-langkah jangka masa pendek dan panjang telah diadakan untuk menangani kesan perubahan iklim seperti kejadian banjir, kemungkinan tanah runtuh, peningkatan suhu dan lain-lain. Sehubungan ini, UN-Habitat telah memilih Pulau Pinang untuk menerima dana sebanyak USD10.0 juta untuk pelaksanaan Nature Based Climate Adaptation Program selama 5 tahun mulai tahun 2023 bersama rakan-rakan strategik Kerajaan Negeri dan MBPP yang melibatkan projek-projek dan program menghijaukan bandar, pengurusan air larian hujan dan kedayatahanan sosial. Sejajar dengan halatuju Bandar Rendah Karbon (Low Carbon City) dan sasaran Neutral Karbon (Net Zero) menjelang 2050, banyak usaha telah diambil untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menggunapakai tenaga semula jadi serta mengekalkan kelestarian alam sekitar seperti penukaran kesemua 33,000 lampu jalan di bahagian pulau, Pulau Pinang ke jenis LED dan penggunaan lampu cekap tenaga di semua premis MBPP. Tenaga solar juga digunakan di tujuh (7) buah bangunan kepunyaan MBPP dan pencahayaan laluan-laluan khas basikal.

Usaha-usaha ini telah mengurangkan pelepasan lebih kurang 11,100 ton metrik karbon setahun dan penjimatan RM4.29 juta duit rakyat setahun. Sepastinya, projek-projek dan program ini yang sebahagiannya dijalankan melalui public private partnership dan private finance initiative akan diteruskan.

MBPP juga berupaya mengikuti perkembangan arus Evolusi Digital yang telah memberi impak positif kepada cara MBPP mengurus dan mentadbir bandar. Sebanyak 112 urusan pembayar cukai MBPP boleh dijalankan secara dalam talian manakala pembayaran secara tanpa tunai telah digunakan untuk 86% daripada transaksi dengan MBPP pada tahun 2023. Projek Transformasi Digital melalui pembangunan SmiDat (Smart Island Digital Twin) akan diperkasakan sehingga disempurnakan pada tahun 2025. Dua komponen penting SmiDat adalah pembangunan model maya bandar sebagai klon digital kepada realiti (Virtual City model) serta pemasangan rangkaian fiber eksklusif sekeliling bahagian pulau, Pulau Pinang. Sehubungan dengan ini, MBPP memberi sokongan penuh kepada Digital Nasional Berhad (DNB) dalam penyediaan rangkaian 5G yang dapat membantu merealisasikan potensi penuh Industri 4.0 yang sangat penting bagi Pulau Pinang. Kemudahan 5G dijangka mencapai liputan melebihi 90% di kawasan berpenduduk di Negeri Pulau Pinang pada akhir tahun tahun 2023. Seterusnya kita bersedia melangkah ke Machine Learning dan Artificial Intelligence termasuk Generative Pretrained Transformer yang lebih dikenali sebagai Chat-GPT supaya pengurusan bandar menjadi lebih efisyen dan efektif serta progresif dan berdaya saing.

Tidak ketinggalan juga warga berusia dan kelainan upaya di Pulau Pinang. Penuaan masyarakat adalah kepastian demografi yang tidak dapat diabaikan dan perlu didepani, disesuaikan dan dipermudah. Mengikut statistik semasa, lebih daripada 16% daripada penduduk Pulau Pinang berada dalam lingkungan umur 60 tahun atau lebih. Angka ini dijangka mencecah 26.2% menjelang tahun 2040 iaitu di antara yang tertinggi di Malaysia. Sehubungan ini, MBPP telah memohon untuk menjadi Ahli WHO Global Network of Age-Friendly Cities and Communities yang menggalakkan penuaan sihat dan selamat serta menjadikan warga berusia lebih inklusif dalam komuniti. MBPP telah menyediakan infrastuktur dan kemudahan yang bersesuaian berpandukan rekabentuk sejagat (universal design) yang sedang diperluaskan secara berperingkat. Akan tetapi, yang lebih penting adalah memastikan warga berusia dan kelainan upaya dapat menyumbang kepada komuniti dan menjalani hidup yang bermakna.

Visi Penang2030 yang diilhamkan oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang akan terus menjadi tunjang, dihayati dan dijadikan panduan kepada penetapan halatuju MBPP ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Penerapan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) menjadi intipati kepada pencapaian Visi Penang2030 dan pelaksanaan projek, program dan perkhidmatan MBPP. MBPP menyahut seruan pelaksanaan initiatif-initiatif place making, pembangunan komuniti dan penglibatan industri yang digariskan dalam Penang2030 dengan memberi perhatian kepada tahap Index Kebahagiaan Negeri Pulau Pinang yang berada pada peratusan 76.5% mengikut kajian pada tahun 2021 dan mengatasi index purata Negara.

MBPP juga akan akur kepada halatuju Negara dalam konteks Kerajaan Tempatan yang ditetapkan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming.

Saya berserta warga MBPP juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Yew Tung Siang yang menerajui MBPP untuk tempoh melebihi 5 tahun. Banyak perkataan yang boleh digunakan untuk menggambarkan atau menghuraikan beliau, di antaranya adalah ceria, tegap dan bertenaga. Di nota yang lebih serius beliau adalah seorang yang cekal, berkebolehan dan berwawasan. Jasa dan budi Dato’ Yew Tung Siang adalah tidak terukur dan beliau telah menyediakan satu pelantar dan landasan yang kukuh untuk membolehkan saya mengambil alih tugas-tugas Datuk Bandar.

Akhirkata, saya berdoa agar Tuhan memberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran kepada saya untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Datuk Bandar dengan sebaik mungkin serta menghadapi cabaran-cabaran yang sepastinya wujud. Saya yakin dan percaya bahawa dengan iltizam, iktibar dan semangat tidak putus asa saya bersama warga MBPP, kita dapat memenuhi aspirasi rakyat Pulau Pinang serta menunaikan amanat Kerajaan Negeri.

Sekian, terima kasih.