Definisi
Pulau Pinang sebagai negeri kedua yang sedang mengalami penuaan di Malaysia selepas negeri Perak. Menjelang 2040, Pulau Pinang akan mempunyai kadar warga emas terbesar di Malaysia. Oleh yang demikian, Pulau Pinang kini dalam usaha untuk menuju ke arah menjadi Bandar Mesra Usia (AFC).
Bandar Mesra Usia direka dan diubahsuai untuk memenuhi keperluan penduduk yang lebih berusia dan golongan rentan seperti kanak-kanak, orang kurang upaya dan individu berpendapatan rendah. Ia menjadikan bandar Pulau Pinang satu bandar yang mudah diakses dan terangkum. Ia menyediakan laluan jalan dan pengangkutan awam yang selamat serta menggalakkan penglibatan sosial dan aktiviti fizikal di ruang komuniti. Ia juga menawarkan akses kepada penjagaan kesihatan, perkhidmatan sosial, dan perumahan mampu milik. Ini menggalakkan penuaan di kawasan kediaman sendiri dan mengekalkan kualiti hidup yang baik.
8 Sektor utama dalam Bandar Mesra Usia
Sektor 1: Ruang Awam dan Bangunan
Merujuk kepada persekitaran serta perkhidmatan yang menyediakan tempat/ruang luar yang bersih dan bersesuaian kepada kesemua kelompok di dalam masyarakat.
Sektor 2: Sistem Pengangkutan
Merujuk kepada kepatutan, kebolehcapaian dan ketersediaan pengangkutan untuk komuniti Pulau Pinang.
Sektor 3: Sistem Perumahan
Merujuk kepada skim perumahan yang sedia ada dan yang akan datang dari segi kepatutan, kebolehcapaian dan ketersediaan. Kuota perumahan yang disediakan perlu selari dengan keperluan masyarakat Pulau Pinang.
Sektor 4: Penglibatan Sosial/Masyarakat
Merujuk kepada kewujudan kepelbagaian dan keterangkuman bagi program, aktiviti dan perkhidmatan yang menggalakan penglibatan semua lapisan masyarakat, terutamanya warga emas.
Sektor 5: Saling Menghormati dan Keterangkuman Sosial
Merujuk kepada pandangan masyarakat terhadap warga emas dalam usaha untuk memupuk rasa hormat dan keterangkuman sosial dalam kalangan masyarakat Pulau Pinang.
Sektor 6: Penglibatan sivik dan Peluang Pekerjaan
Merujuk kepada inisiatif dalam usaha untuk meningkatkan umur persaraan serta peluang pekerjaan dan membangunkan pusat latihan geriatrik bagi golongan warga emas.
Sektor 7: Berkomunikasi dan Informasi
Merujuk kepada bahan cetakan yang digunakan adalah ringkas dan padat yang mudah difahami oleh komuniti warga emas.
Sektor 8: Sokongan Masyarakat dan Perkhidmatan Kesihatan
Menggalakkan penyediaan rangkaian perkhidmatan kesihatan dan sokongan komuniti yang mencukupi bagi mempromosikan dan mengekalkan kualiti kesihatan dalam kalangan masyarakat.